Navigation : Home | Facebook | Twitter | Follow | Dashboard | Newer | Older

❝ Someone Like U ❞



Jumaat, Julai 27, 2012 | Julai 27, 2012 | 0 Lovers
Kedengaran lagu 'Muslimah' dendangan Nazrey Johari di corong radio, saluran IKIMfm. Terus terang sebelum ini memang ku tak pernah berminat untuk membuka siaran radio saluran ini. Tetapi kini IKIMfm ialah saluran kegemaranku.
Masya-Allah, indahnya lirik dan alunan lagu ini. Bertuah dan berharganya seorang wanita pada pandangan Islam. Tanpa disedari, berlinangan air mataku jatuh memikirkan masa lampau.
Kata-kata seperti "Ujian itu diturunkan untuk kita lebih dekat kepadaNya", "Allah tidak akan membebani seseorang di luar kemampuan seseorang itu", "Bertuahlah anda insan terpilih; Allah menyayangi anda" seringkali kita dengari setiap kali ujian, musibah atau kesedihan menimpa kita. Tetapi hati ini kadangkala begitu degil menerimanya. Mengapa? Kerana jiwa yang tidak dipagari dengan iman sangat mudah dikacau, hati yang tidak 'diberi makan' mudah sakit. Astaghfirullahal'azim.
Ketika ditimpa ujian, inilah peluang kita untuk berkasih sayang denganNya, tempat untuk kita kembali semula setelah lama kita alpa dan lalai kepadaNya. Tidakkah kita melihat betapa bertuahnya kita apabila DIA memilih kita untuk tidak terus hanyut? Inilah peluang untuk kita bertaubat dan menyedari DIA merindui suara kita.
Subhanallah. Aku terpana seketika. Begitu banyak dosaku padaMu, Ya Rabb. Tak tertanggung lagi. Jiwa aku kosong, hidup aku tertekan. Pintu taubat terbuka luas dan sungguh, Kau Ar-Rahman dan Ar-Rahim.
Dalam sekelip mata, Kau memanggilku ke BaitullahMu. Sungguh tak ku sangka selama ini tidak pernah terdetik di hatiku untuk ke rumahMu pada usia yang muda ini. Kau cukupkan rezekiku, kau bukakan pintu hatiku untuk menerima ilmu-ilmuMu.
Sungguh, begitu mudah perjalanan dan urusan ku di sana. Setiap masa aku menangis di hadapan rumah suciMu. Jika inilah kesenangan dan habuan yang ku dapat selepas apa yang Engkau ujikan padaku, aku bersyukur, Ya Allah. Nikmat yang tak terhingga Engkau berikan, Engkau gantikan. Aku hanya hamba yang penuh dosa dan cela.
Ku pulang dengan sebalan di hati. Namun ada yang lebih penting harus ku bawa selepas pulang dari tanah suciMu. Menjadi hamba yang taat dan patuh pada suruhanMu, menjadi hamba yang bersyukur atas kurniaanMu.
Hidayah mungkin menyapa kita sekali seumur hidup. Genggamlah ia erat jangan dilepaskan kerna mungkin ia tidak akan kembali lagi. Hidayah milik Allah dan beruntunglah sesiapa yang dipilih untuk diberikan petunjuk.
Teman-teman diluar sana, setiap ujian yang dilalui adalah sebagai peringatan kepada kita dan juga sebagai medium komunikasi bahawa Allah mencintai kita. Kembalilah kepada fitrah dengan taubat dan bersyukurlah dengan hidayah yang diberikan.
"Biarlah kita kalah di mata manusia tetapi kita menang dan mulia di mata Allah. Pandangan siapakah yang paling utama?"

Label: