Kenali Ust Daniyal Don



“Episod ke-100, Kejutan yang menyentuh Kalbu” - Ustaz Don Daniyal
Episod ke-100, Rancangan 30 minit bersama Ustaz Don yang disiarkan baru-baru ini telah menampilkan kelainan yang tersendiri dan juga penuh dengan elemen kejutan. Selain konsepnya yang lebih santai berinteraksi dengan penonton di studio, siarannya juga dipanjangkan sehingga lebih 60 minit.
Namun kesemua kelainan yang ditampilkan ini hanya untuk episode yang ke-100 sahaja. Ia adalah rentetan daripada kejayaan rancangan ini memikat hati semua penonton. Bukan hanya golongan tertentu yang mendengar ceramahnya, tapi daripada anak kecil sehingga golongan ibu bapa tertarik dengan penyampaian dan pendekatan Ustaz Don yang santai, bersahaja dan menghiburkan.




Apa yang lebih manis lagi di dalam episod yang ke-100 ini, elemen kejutan yang dilakukan oleh pihak kru produksi tidak diketahui oleh Ustaz Don Daniyal sendiri. Pada mulanya Ustaz Don telah diberikan tugas seperti biasa mengendali rancangannya itu, namun kehadiran Ustaz Amin Idris yang juga rakan seperjuangannya di dalam TV al-Hijrah semasa pertengahan program tersebut telah merubah skrip apabila beliau diamanahkan untuk mengambil alih tugas sementara mengacara program itu daripada Ustaz Don.
Rupa-rupanya pada episod istemewa yang ke-100, kru produksi ingin menyingkap sejarah kehidupan Ustaz Don dari zaman kanak-kanak, dunia universitinya sehingga beliau menjadi personaliti yang dikenali ramai.

Gigih Menuntut Ilmu

Mungkin ramai yang sudah mengetahui peribadi Ustaz Don atau nama penuhnya Don Daniyal Don Biyajid. Beliau lahir pada 14 November 1984 di Bukit Martajam, Pulau pinang. Anak kedua daripada empat beradik itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Sewaktu di sekolah menengah, dia adalah pelajar aliran sains.
Walaupun lahir di dalam keluarga yang sederhana namun didikan yang diperolehnya cukup sempurna. “Bapa saya seorang yang tegas dalam bab beragama. Setiap malam dia akan bawa kami sekeluarga belajar agama di sekolah pondok. Daripada situlah saya mula mencintai dan berminat mendalami agama,” cerita Ustaz Don.



Di dalam kerancakan Ustaz Don bercerita, beliau telah dikejutkan dengan panggilan di talian secara langgung daripada kakaknya, Ainul Dona. Menitis air mata Ustaz Don pabila mendengar ucapan dan nasihat daripada kakaknya yang mewakili keluarganya. “Ibu, bapa kakak dan adik-adik yang lain ingin ucapkan tahniah sempena program 100 episod ini dan kami berdoa agar mudah-mudahan ilmu yang diajar oleh Daniyal dapat memberi manfaat kepada semua terutama dari golongan remaja,” pesan Kakaknya.



Bukan itu sahaja, kejutan demi kejutan terus berlaku. Kehadiran dua orang bekas guru Ustaz Don ketika di bangku sekolah iaitu Ustaz Yazid Salleh, ustaz yang mengajar pelajaran tahfiz Al-Quran dan Cikgu Noor Rijah Hassan, cikgu Bahasa Inggeris sewaktu dirinya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh, Bukit Mertajam pada episod ini telah memberikan kenangan yang cukup manis buat Ustaz Don Daniyal. Biarpun terkejut, pancaran wajah kegembiraan terukir di wajahnya. Ustaz Don sekali lagi menitiskan air mata kerana tidak menyangka kehadiran dua guru yang amat dikasihinya itu.



Kehadiran mereka adalah bertujuan untuk mengimbau kembali kenangannya ketika menuntut di sekolah dan di universiti. Bagi Ustaz Yazid Salleh, Sikap Ustaz Don yang peramah dan sering bertanya kepadanya telah membuatkan dirinya begitu rapat dengan Ustaz Don.



“Saya masih ingat lagi sewaktu dia susah untuk mengingati ayat al-Quran dan pada waktu itu dia telah berjumpa dengan saya dan menangis. Saya memberi nasihat agar tidak berputus asa. Beliau memang seorang yang tidak mudah berputus asa sejak di bangku sekolah,” jelas Ustaz Yazid.



Sementara itu, Cikgu Noor Rijah Hassan yang mengimbas kembali kenangannya bersama Ustaz Don ketika di sekolah berkata, diri Ustaz Don pada waktu itu adalah seperti kanak kanak yang lain namun apa yang membezakannya adalah sifatnya yang berani menonjol diri terutamanya apabila ada sesuatu pertandingan.



Mengakhiri program, Ustaz Don Daniyal juga telah dikejutkan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TV al-Hijrah, Bukhari Che Muda yang juga tampil memberikan pandangannya terhadap keperibadian Ustaz Don sepanjang beliau menjadi pengacara bagi program 30 minit bersama Ustaz Don.


Selanjutnya di dalam Majalah i keluaran JUN 2012.
http://www.karangkraf.com/e-majalah/i/default.asp?categories=I1

Catatan popular daripada blog ini

Biodata murrabi ku ( ustazah nor hafizah musa)

TIGA UKURAN KEHEBATAN SESEORANG

kehidupan ibarat pelangi