Navigation : Home | Facebook | Twitter | Follow | Dashboard | Newer | Older

❝ Someone Like U ❞



Isnin, Januari 24, 2011 | Januari 24, 2011 | 0 Lovers
Ketika saya sedang berehat dari menelaah pelajaran 3 tahun lepas, saya terkesima menonton sebuah video di Youtube; seorang kanak-kanak kecil petah berbicara dan mempunyai wawasan yang tinggi berdasarkan ucapannya kepada khalayak ramai.




■http://www.youtube.com/watch?v=Y7_3preFLM0Setelah mengkaji serba sedikit berkenaan latar belakang beliau, rupa-rupanya beliau adalah seorang genius matematik Malaysia. Itulah kali pertama saya mengenali Adi Putra; seorang kanak-kanak Melayu Muslim yang saya sangat kagum dan hormati.



Mungkin saya telah mengenalinya sebelum ke United Kingdom lagi, tetapi saya tak berapa nak ingat. Apapun, sekembali ke Malaysia, saya terus menjadi peminatnya. Minat kerana kebijaksanaan dan keberanian beliau. Pernah sekali beliau menegur Sultan Pahang.



■http://www.youtube.com/watch?v=jwwOQ7NhWo0Namun saya tak pernah terfikir untuk menemui beliau secara personal sehinggalah saya mengenali seorang rakan perniagaan baru-baru ini. Alhamdulillah beliau telah membantu saya untuk mengatur pertemuan dengan Adi Putra dan keluarganya.



Akhirnya petang tadi saya berpeluang menemui keluarga hebat ini. Setibanya saya di rumah Adi Putra, beliau sedang mengajar beberapa orang adik-adik tentang ilmu matematik Al-Khawarizmi. Kelihatan adik-adik tersebut mudah untuk memahami apa yang diajar. MasyaAllah saya sungguh kagum dengan kepantasan beliau mengira mengalahkan kalkulator!



Paling menarik adalah ketika akhir kelas. Adi Putra berkata kepada murid-muridnya : "Pesanan Adi kepada semua adalah Adi halalkan segala ilmu Adi."



Ketika berborak dengan ayahnya, saya bertanya, "Mengapa Adi tak terima tawaran daripada kerajaan untuk program khas bersama kerajaan?"



"Adi tak mahu kerana beliau nak mengajar orang-orang kampung dan ummah. Andai dia terima tawaran kerajaan, dia akan dijadikan bahan eksperimen," balas ayahnya dan saya terkejut dengan jawapan itu. Ya, itulah yang Adi Putra buat; beliau sedang mengajar anak-anak bangsa kita untuk jadi pandai seperti beliau.



Saya berkesempatan untuk bersembang dengan ibunya secara one to one. Inilah peluang untuk saya mempelajari sesuatu daripada ibu Adi Putra; insan yang melahirkan Adi di dunia ini.



"Pasti banyak rahsia dan tips untuk membantu masa depan saya," saya fikir.



"Akak, saya Imran dari iluvislam.com," saya mulakan bicara sambil menghulurkan kad perniagaan (business card) iluvislam.



"Oh akak selalu buka iluvislam.com dan akak suka. Bahan-bahan iluvislam.com ringkas, tidak terlalu berat dan menarik. Sebenarnya akak selalu tinggalkan komen kat situ," Puan Serihana memulakan bicara.



Alhamdulillah, saya bersyukur sekali apabila mendengar kata-kata insan hebat itu. Selepas itu, saya berasa sungguh selesa berborak dengan beliau.



"Akak kerja apa?"



"Akak kerja sepenuh masa uruskan Adi Putra."



"Sebelum ni?"



"Akak mengajar di Slim River."



"Ha, kampung saya tu. Saya sekolah di SMKA Slim River dulu sebelum ke KISAS (Kolej Islam Sultan Alam Shah). Kampung saya di Felda Gunung Besout."



"La, kampung akak kat Kuala Slim. Kita sekampung la kalau macam tu."



Tak sangka pula kami sekampung. Sekiranya saya ingin ke bandar terdekat (Slim River) dari kawasan perumahan (Felda), saya perlu melalui Kuala Slim. Alhamdulillah, makin seronok bersembang dengan Puan Serihana.



"Akak dulu sekolah mana?"



"Mula-mula akak sekolah di Slim River, kemudian ke Sekolah Teknik Persiaran Brash, Ipoh."



"Oh yeke, abang dan adik saya juga sekolah di sekolah teknik yang sama dengan akak," masing-masing tergelak kecil. Banyak betul persamaan kami.



Permulaan Adi Putra



"Akak, bila akak mula perasan kehebatan yang Adi Putra ada?"



"Masa tu Adi baru berumur 3 tahun. Akak tengah ajar abang dan kaka Adi sifir matematik. Ketika itu, Adi melihat sahaja kami. Pada suatu ketika, abang beliau tak dapat jawab soalan akak, tiba-tiba Adi dapat jawab. Akak pun terkejut. Lalu akak tanya dia, "Macamana Adi tahu?" Adi kata dia dengar abang dia sebut-sebut semasa cuba menghafal sifir.



"Sejak dari peristiwa itu, akak ajar dia sifir macam akak ajar kepada abang dan kakak beliau. Menariknya dia start hafal sifir 12."



"Bila Adi Putra dapat jawab soalan akak, akak akan bagi ganjaran. Itu cara akak didik anak-anak. Jawapan betul akan dapat 20 sen. Tetapi mak ayah perlu pandai juga. Kalau jawapan mereka salah, mereka kena bayar kat kita 40 sen. Cara ini akan menggalakkan anak-anak kita untuk terus berusaha."



Menurut Puan Serihana, Adi Putra membesar seperti kanak-kanak normal lain. Beliau bermain dengan rakan-rakan, adik beradik dan lain-lain.



"Ayah Adi Putra pula berbeza caranya. Sebagai pengurus TNB ketika itu, beliau mempunyai ramai pekerja. Hampir setiap hari beliau akan memberikan duit kepada pekerjanya. Kemudian, sekiranya pekerja itu lalu di hadapan rumah Adi Putra, mereka akan tanya soalan matematik kepada Adi. Sekiranya jawapan Adi betul, mereka akan berikan wang yang telah diberikan oleh ayah Adi kepadanya. Jika jawapan Adi salah, wang itu boleh digunakan oleh pekerja tersebut. Cara ini menyebabkan Adi sangat suka dan selalu beritahu kami : "Mak, Adi dapat duit daripada pakcik tu!" "



Pencapaian Luar Biasa



"Akak dulu sangka Adi boleh pergi sejauh setakat level sekolah menengah (dari segi ilmu matematiknya). Jadi akak ajar dia algebra sejak usia 3 atau 4 tahun dan dia sangat berminat. Semasa akak buka pusat tuisyen, Adi dah boleh mengajar pelajar sekolah menengah yang bermasalah dalam algebra.



"Namun Adi memang suka explore ilmu baru dan tahap dia memang melebihi tahap sekolah menengah. Dia belajar sendiri."



Rancangan Masa Depan Adi Putra



Apabila ditanya tentang masa depan Adi Putra, ibunya berkongsi :



"InsyaAllah Adi akan ambil A-Level. Sekarang dia tengah menghafal Al-Quran dan akak hantar dia belajar bahasa," kagum saya bila dengar yang Adi sedang menghafal Al-Quran. Tambah-tambah saya mempunyai impian untuk memiliki anak yang boleh menghafaz Al-Quran, insyaAllah.



Selepas itu, macam-macam yang kami borakkan sambil makan petang. Syukur saya panjatkan kepada Allah kerana memberikan saya peluang belajar banyak benda baru hari ini. Saya tak sempat nak sembang dengan ayah Adi kerana ayahnya tekun mengajar anak-anak jirannya. Bahagia betul dapat berkongsi ilmu dengan orang lain!



Ummah



Saya melihat banyak kali perkataan 'ummah' di rumah, pejabat dan baju murid-murid Adi Putra. Perkataan inilah yang memberikan saya kekuatan dan semangat untuk terus berjuang bersama iluvislam.com; dengan izin Allah SWT.



Alhamdulillah, saya pulang semula ke ofis dengan penuh semangat dan tekad untuk memberikan yang terbaik kepada ummah.



InsyaAllah saya bercadang untuk membawa krew-krew iluvislam.com untuk bertemu Adi Putra dan ahli keluarganya. Harap-harap ia dapat memberikan inspirasi kepada kami untuk terus berikan yang terbaik kepada semua.



- Artikel iluvislam.com

Label:



0 Ulasan posted :